Patutlah keputusan rayuan Syed Saddiq ditangguh lagi, rupanya ini puncanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sepatutnya diketahui hari ini ditangguhkan pada 13 Julai depan.

Situasi yang tidak dijangka itu berlaku susulan salah seorang daripada panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari. 

Perkara itu diumumkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais iaitu satu-satunya hakim yang menghadiri prosiding tersebut pada sekitar jam 9.30 pagi tadi, lapor Berita Harian.

Menurut Abu Bakar, beliau dan Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah namun diberitahu bahawa Che Mohd Ruzima tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini.

Panel tiga hakim yang bersidang bersama itu seharusnya memutuskan rayuan akhir pendakwaan mengenai pembebasan Syed Saddiq sama ada keputusan sebulat suara atau majoriti 2-1.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan dana tersebut.

Perbuatan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad dan ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan tersebut, Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Terdahulu, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun tahun lalu.

Baca juga: Betul ke gaji YouTuber cecah RM360k sebulan? Che Nom buka mata ramai gaji sebenar ‘content creator’