5 hari lagi menjelang aidilfitri, 18,000 ekor lembu dilapor mati akibat letupan besar di kandang

Oleh SHAFIQAH MUKHSIN

Dikhabarkan 18,000 ekor lembu mati dan seorang peladang berada dalam keadaan kritikal selepas ladang tenusu meletup di Texas awal minggu lalu.

Kejadian dikatakan berlaku di South Fork Dairy berhampiran bandar Dimmitt lapor laman berita BBC.

Pejabat Syerif Daerah Castro, Syerif Sal Rivera berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 7.21 petang waktu tempatan Isnin lalu.

Dalam rakaman video berdurasi 13 saat yang tular, ia menunjukkan kepulan asap hitam tersebar ke ruang udara dengan skala besar.

Tambahnya, sewaktu polis dan anggota kecemasan tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kejadian itu.

Peladang yang cedera segera diterbangkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan berada dalam keadaan kritikal.

“Walaupun angka sebenar lembu yang mati akibat kebakaran masih belum diketahui, namun ia dianggarkan sebanyak 18,000 ekor.

“Kebanyakan haiwan itu mati selepas api merebak ke kawasan ladang termasuk kawasan pemerah susu dan kandang.

“Terdapat juga beberapa ekor yang terselamat dari tragedi itu, namun ia mengalami cedera dan mungkin perlu dibunuh,” katanya kepada akhbar tempatan, KFDA.

Punca kebakaran berkemungkinan dari jentera ladang berkenaan yang disebut sebagai honey badger untuk ‘menyedut’ najis lembu tersebut.

“Mungkin ia terlalu panas sehingga gas metana merebak ke ruang luar ladang sebelum terbakar dan meletup,” katanya kepada KFDA.

Baca juga: Sedia hadapi cuaca panas dijangka jejaskan sektor pertanian