Seorang pengguna meluahkan rasa kecewa selepas menerima bil air mencecah RM1,221.85 daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), walaupun mendakwa tidak mempunyai sebarang tunggakan dan sentiasa menjelaskan bayaran tepat pada masanya setiap bulan.
Perkongsian pengguna yang menggunakan nama soffy89_ di media sosial itu menjadi tular apabila dia mempersoalkan jumlah bil yang dianggap tidak munasabah untuk sebuah keluarga kecil yang hanya terdiri daripada tiga orang.
Menurutnya, selepas menghubungi talian khidmat pelanggan AKSB, dia dimaklumkan kemungkinan berlaku kebocoran paip di kawasan rumah.
“Bila saya minta AKSB periksa sama ada benar ada paip bocor dan di mana lokasi kebocoran.
“Mereka kata selepas meter dipasang, segala urusan pemeriksaan dan pembaikan adalah tanggungjawab pengguna sendiri,” katanya.
Berdasarkan bil yang dikongsikan, bacaan meter menunjukkan penggunaan sebanyak 696 meter padu (m³) dengan caj semasa RM1,221.85.
Selepas pelarasan anggaran sebanyak RM409.80 diberikan, jumlah perlu dibayar masih mencecah RM812.05.
Pengguna itu berkata dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa rayuan yang ditawarkan bukan untuk pengecualian bayaran, sebaliknya hanya membolehkan jumlah tersebut dijelaskan secara ansuran.
“Masalahnya tetap kena bayar. Kami tak guna air sampai seribu lebih. Dalam rumah cuma saya, suami dan seorang anak sekolah rendah,” luahnya.
Wanita berkenaan turut menyindir keadaan tersebut dengan mengaitkannya dengan slogan kebajikan negeri.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial tampil memberikan pandangan bahawa penggunaan pam air mungkin menjadi antara faktor yang menyebabkan kebocoran berlaku.
“Ini risiko pakai pam. Ia boleh menyebabkan paip bocor dan jika kebocoran berlaku selepas meter, memang menjadi tanggungjawab pengguna,” katanya.
Menjawab komen itu, soffy89_ mengakui rumahnya menggunakan pam air kerana tekanan air di kawasan berkenaan terlalu rendah.
“Kalau tak pakai pam, air perlahan sangat. Kebanyakan rumah di kawasan ini pun menggunakan pam air,” jelasnya.