‘Tiada kaitan dengan drama Korea’ – Asyraf Wajdi perjelas asal-usul projek warden bekas tentera

Oleh MALAYSIADATELINE

Inisiatif melantik warden sepenuh masa daripada kalangan bekas anggota tentera yang diperkenalkan MARA bagi menangani gejala buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terbukti memberi kesan positif, sekali gus bakal diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima banyak aduan berkaitan kes buli daripada ibu bapa dan pelajar sebaik sahaja diamanahkan menerajui MARA pada 2023.

“Warden Bekas Tentera di MRSM tiada kaitan dengan drama Korea. Cadangan ini sudah lama dibangkitkan banyak pihak sejak 2023.

“MARA laksana projek rintis di dua MRSM tahun lepas. Diperluaskan kesemua 58 MRSM apabila terbukti berkesan,” jelasnya dalam hantaran di media sosial.

Susulan itu, beliau melaksanakan siri lawatan mengejut menerusi program #Terjah ke MRSM dan institusi pendidikan MARA bagi melihat sendiri keadaan di lapangan serta mengenal pasti punca berlakunya kes buli.

Menurutnya, MARA turut memperkenalkan slogan ‘You Touch You Go’ sebagai amaran tegas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan buli atau cuba menyembunyikan kes tersebut.

“Hasil pemerhatian mendapati antara faktor yang menyumbang kepada kekerapan kes buli ialah keterbatasan tanggungjawab warden yang dipikul oleh cikgu-cikgu sebagai tugasan tambahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, cadangan melantik warden sepenuh masa daripada kalangan bekas anggota beruniform, khususnya tentera, diterima daripada pelbagai pihak termasuk bekas cikgu dan masyarakat.

Cadangan itu kemudian dibawa kepada pengurusan MARA sebelum projek rintis dilaksanakan di dua MRSM yang sebelum ini sering dikaitkan dengan tradisi buli.

MARA turut menjalin kerjasama dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia serta penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjalankan kajian bebas terhadap keberkesanan inisiatif berkenaan.

Menurut Dr Asyraf, laporan projek rintis selama enam bulan yang berakhir Februari lalu mendapati pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera berjaya meningkatkan disiplin, sahsiah dan pembangunan pelajar selain membantu mengurangkan masalah buli.

“Hasil kajian ini menunjukkan pendekatan tersebut amat berkesan dan memberi impak positif kepada kemenjadian pelajar.

“Justeru, saya membawa cadangan ini untuk dibincangkan dan diluluskan oleh Majlis MARA sebelum diputuskan untuk diperluaskan ke semua 58 MRSM,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyentuh mengenai drama Korea terbaharu di platform Netflix bertajuk Teach You A Lesson, yang menurutnya mempunyai persamaan dengan inisiatif yang dilaksanakan MARA.

“Ramai yang menandakan (tag) saya apabila drama itu mula ditayangkan bulan lalu. Rupanya ada beberapa persamaan dengan pendekatan yang sedang dilaksanakan MARA dalam usaha membentuk disiplin pelajar,” katanya.

Beliau menegaskan MARA akan terus mendengar pandangan masyarakat dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan institusi pendidikan di bawah agensi itu kekal selamat, bebas buli dan kondusif untuk pembangunan anak bangsa.

Baca juga: Dokumen dimeterai dalam lawatan PM Anwar ke Turkmenistan perkukuh kerjasama bidang strategik