Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) memaklumkan hampir 500,000 responden menyertai tinjauan yang dibuat jawatankuasa berkenaan berhubung sesi pembukaan sekolah yang sebelum ini diumum akan dibuka pada 1 September 2021.
JKPPH berkata, hasil undian dan ‘survey’ yang dilakukan, 94 peratus responden tidak bersetuju dengan cadangan pembukaan sekolah menjelang September berikutan kes yang semakin meningkat dan jumlah kematian yang semakin tinggi.
“Sebanyak 421,446 responden yang telah menyertai pungutan suara yang terdiri dari kalangan ibu bapa, guru-guru dan kakitangan sekolah.
“Seramai 94.6 peratus (398,687 orang) tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September, dan hanya 5.4 peratus sahaja yang bersetuju,” katanya yang memaklumkan tinjauan telah dibuat dalam tempoh 48 jam bermula 11 hingga 13 Ogos.
Ekoran peratusan tinggi yang membantah pembukaan sekolah, JKPPH mengutarakan beberapa cadangan untuk mengatasi permasalahan itu, namun perlu diberikan perhatian serius oleh KPM dalam mempertimbangkan keputusan yang akan diambil kelak.
JKPPH antara lain menekankan agar segala keputusan yang hendak diambil mestilah berpandukan data dan sains, berteraskan panduan yang telah diberikan oleh WHO dengan mengambil kira kadar jangkitan dalam komuniti, peningkatan kes baharu, kadar kematian dan kes yang dimasukkan ke ICU.
Selain itu KPM perlu menyelesaikan masalah utama iaitu proses vaksinasi kepada semua pihak yang terlibat dalam eko-sistem pendidikan sama ada guru, pekerja sekolah, kakitangan kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas serta van sekolah tanpa terkecuali.
Menurutnya, kerajaan boleh mendahulukan vaksinasi kepada mereka yang berada di luar bandar kerana populasinya sedikit berbanding di bandar, sekaligus mempercepat sekolah-sekolah dibuka.
“Kaji semula untuk membenarkan program vaksinasi pada pelajar kelas peperiksaan SPM, STAM dan STPM secara sukarela.
“Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin,” tambahnya.
Pada masa sama ujarnya, KPM perlu membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar yang belum divaksin, di dalam sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data sebelum meneruskan keputusan mereka untuk membuka sekolah.
Malah, jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, ianya mesti dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar, disusuli sekolah di kawasan hijau, kemudian barulah pembukaan sekolah di kawasan yang mempunyai kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok.
“Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini.
“Jadual persekolahan bergilir juga perlu dilaksanakan selain dari SOP yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan faktor kepadatan di sekolah mengulangi insiden kluster sekolah sekali lagi,” cadang PH.
Kenyataan itu dibuat bersama anggota JKPPH iaitu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom; Kulai Teo Nie Ching; Sekijang Natrah Ismail; Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong; dan Tangga Batu Rusnah Aluai.