Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dituntut untuk memberi penjelasan di dalam Parlimen berhubung kes pendakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikenakan pertuduhan seminggu sebelum sidang Parlimen bermula.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Mahiaddin perlu menjelaskan adakah Syed Saddiq dijadikan sebagai mangsa pendakwaan politik dan mengapa pengasas parti Muda itu didakwa di mahkamah selepas tujuh bulan kelulusan untuk pendakwaan diberikan.
“Sekiranya Mahiaddin tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan, maka benarlah tuduhan Syed Saddiq bahawa pendakwaannya adalah pendirian bermotif politik.
“(Termasuk) amaran Syed Saddiq bahawa beberapa Ahli Parlimen lain sedang menjadi sasaran oleh pihak berwajib dengan siasatan rasuah dikenakan terhadap mereka.
“Malaysia telah terjerumus ke dalam kekacauan konstitusional sebagai akibat daripada pemerintahan yang sangat takut untuk diuji sokongannya di Parlimen.
“Ini sama sekali tidak dapat diterima kerana ia menyalahguna institusi negara untuk mendakwa atau menghukum Ahli Parlimen hanya untuk menyelamatkan pemerintahan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Pada semalam, Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), mempersoalkan tentang pertuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadapnya menjelang sidang Parlimen minggu hadapan.
Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu menegaskan siasatan berkaitan pertuduhan itu sudah dilakukan lebih setahun lalu.
“Persoalannya, kenapa selepas satu tahun dan beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, baru nak kenakan pertuduhan?,” soalnya dalam siaran langsung di Facebooknya malam tadi.
Terdahulu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.
Beliau membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang parti politik berjumlah RM1 juta ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Armada.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).