Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun diingatkan agar tidak bongkak ketika masih memegang kuasa.
Beliau juga ditegur agar menghormati Majlis Raja-Raja Melayu dan arahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Abdullah Sani berkata, jangan disebabkan sikap Azhar yang tidak adil, Speaker Dewan itu akan disebut sebagai Speaker yang paling tidak bermoral.
“Saya jelaskan bahawa Speaker Dewan Rakyat ini tolonglah hormat Majlis Raja-Raja dan Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
“Tolonglah jaga perlembagaan, tolonglah hormat peraturan tetap yang ada. Tolong jangan khianat dan jangan jadi sejarah bila mana disebut keturunan datuk Speaker, ini Speaker yang paling tidak bermoral.
“Ini speaker yang tidak langsung meletakkan diri sebagai orang yang bertanggungjawab dan menjaga kepentingan negara. Negara dalam keadaan tenat, rakyat merana dan sengsara, Speaker masih lagi bermain kong kali kong,” tegasnya dalam satu siaran langsung Borak Dahsyat: Kerajaan Gagal Parlimen Diperalat, di Facebook semalam.
Ahli Parlimen Kapar itu juga mengingatkan agar Azhar menjaga dasar dan perjuangan Dewan Rakyat yang berada di bawah raja berpelembagaan.
“Speaker jangan bongkak. Dasar dan perjuangan kita tak boleh dikomprom. Ingatlah kita tak boleh tukar langit dalam kuasa yang kita ada. Kita jatuh esok, ketika itu kita tahu langit tinggi rendah. Jangan biarkan ianya berlaku untuk kamu dan generasi kamu,” katanya lagi.
Membincangkan soal Parlimen, Abdullah berkata sekarang adalah waktu kritikal di mana kerajaan tidak boleh sewenangnya menghadkan kehadiran Ahli-ahli Parlimen.
Jelasnya, kes bunuh diri yang semakin meningkat dengan isu kelaparan yang dialami rakyat Malaysia, memerlukan perhatian dan perbahasan teliti dari seluruh Ahli-ahli Parlimen agar rakyat dapat terus dibela.