Kepincangan dan kecuaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tatacara pengumuman penting terutama berhubung Ordinan Darurat, menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dan jelas ia didorong oleh pertimbangan politik semata-mata.
Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng berkata, pengumuman tergopoh gapah yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada semalam, telah mengheret seluruh negara ke dalam kekeliruan yang besar.
Bahkan katanya, tidak ada pengumuman awal mahupun kenyataan bertulis untuk memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membatalkan Ordinan Darurat tersebut.
“Tidak ada kenyataan bertulis yang jelas dikeluarkan bagi menyatakan enam Ordinan Darurat telah dibatalkan, bersama dengan warta persekutuan yang perlu dibentangkan di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Pihak pembangkang terpaksa mendesak kerajaan untuk memberikan maklumat tersebut.
“Daripada lenggok badan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Takiyuddin ketika ditekan Ahli Parlimen pembangkang semalam, nampak seperti Yang di-Pertuan Agong masih belum memberi perkenan Diraja dan sebab itu tiada warta Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru oleh kerana tidak ada Warta Kerajaan Persekutuan, maka Lim berkata, kerajaan perlu membentangkan usul di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan supaya enam Ordinan Darurat berkenaan dibatalkan.
Beliau menegaskan bahawa keengganan kerajaan untuk menjernihkan kekeliruan ini akan memberi banyak implikasi dalam pentadbiran kerana Ordinan Darurat masih mempunyai keberkesanan dalam undang-undang.
Untuk rekod, hukuman maksimum terhadap pelanggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Ordinan Darurat adalah berjumlah dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan dari RM10,000 kepada RM50,000 untuk badan korporat.
“Justeru, persoalan terbesar adalah keabsahan perundangan bagi 2,200 kompaun yang dikeluarkan terhadap individu antara 21 Julai dan 25 Julai,” katanya lagi.