Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa beliau tiada kuasa untuk melanjutkan masa persidangan melebihi 15 minit dari waktu sepatutnya ia tamat.
Beliau berkata, terdapat banyak persepsi yang tidak betul kerana soal lanjutan masa itu dibincang secara salah di dalam Dewan.
Sebelum ini Ahli-ahli Parlimen pembangkang meminta agar Azhar memanjangkan lagi waktu persidangan susulan banyak isu masih tidak dapat dibincang oleh wakil-wakil rakyat di dalam Dewan.
“Sebenarnya bukanlah kuasa saya untuk menambah masa. Aturan 12 (1) mengatakan tiap-tiap sidang majlis hendaklah bermula 10 pagi hingga 1 petang dan sambung 2.30 hingga 5.30 petang atau lebih awal lagi.
“Aturan 12 (3) pula katakan ini kuasa saya. Yang Dipertua boleh lanjutkan mesyuarat selepas 5.30 petang setakat tidak melebihi 15 minit sahaja.
“Itulah sebab tiap-tiap hari saya pengerusikan mesyuarat, saya terus guna budi bicara untuk lanjutkan masa sehingga 5.45 petang,” jelasnya dalam Mesyuarat Khas Parlimen hari keempat pagi ini.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson – PH) memohon agar Dewan Rakyat menambah hari persidangan oleh kerana kekangan masa yang ditetapkan dalam Dewan.
Menurutnya, ramai Ahli Parlimen yang masih tidak dapat berbahas terutama isu berkaitan pendidikan, dan kesihatan.
“Saya pohon penjelasan dari menteri berkenaan atas pertimbangan permohonan ramai ahli berhormat membolehkan lebih ramai mengambil bahagian dalam penerangan atau perbincangan. Kalau pun ditambah hari, tidak semestinya sampai 5.30 petang.
“Kalau ikut kekangan, hadkan masa pun tak apa, tapi panjangkan (hari Parlimen),” katanya.
Bagaimanapun Azhar mengulangi bahawa keputusan melanjutkan hari persidangan bergantung kepada keputusan menteri.