PM tetap yakin tindakan kerajaannya teratur, ikut undang-undang, kata pejabat PM

Oleh BORHAN AHMAD

Walaupun Yang Dipertuan Agong dukacita dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat, Kerajaan Perikatan Nasional mempertahankan, semua tindakan yang diambil mereka adalah teratur dan selaras dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan panjang empat muka surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri petang ini, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin berpandangan, mereka bertindak mengikut undang-undang.

“Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan petang ini.

Kenyataan itu menjelaskan, Perdana Menteri telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

Di samping itu, katanya, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

Oleh sebab itu, katanya, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen.

26 Julai lalu, Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, semua ordinan darurat telah dimansuhkan pada 21 Julai lagi oleh Kabinet.

Hari ini, Istana Negara dalam kenyataannya menyatakan rasa dukacita Yang Dipertuan Agong kerana menteri itu bertindak  di luar batas kuasa kerajaan.