Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menempelak kenyataan Presiden MIC yang menganggap perbahasan Ordinan Darurat di Parlimen adalah sia-sia.
Shamsul berkata, kenyataan angkuh itu telah melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong kerana baginda telah bertitah agar ordinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
“Berani beliau menyebut perbahasan ordinan ini sia-sia? Cukuplah menegakkan benang yang basah.
“Kerajaan hari ini jelas telah gagal melawan Covid-19 dan gagal menjunjung perintah Agong dan Raja-Raja Melayu,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada semalam, Vigneswaran menganggap bahawa perbahasan berhubung Ordinan Darurat di Dewan Rakyat hanya membuang masa kerana peruntukan sidang khas Parlimen perlu difokuskan untuk membantu negara pulih dari pandemik Covid-19.
Beliau berkata, adalah sangat tidak perlu bagi ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan Ordinan Darurat memandangkan ia sudah pun berakhir pada semalam.
Mengulas lanjut Shamsul berkata, ketika ini Umno perlu menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan terbaru MIC itu.
Tambahnya lagi, hanya satu jalan sahaja yang ada untuk Perdana Menteri dan kerajaan hari ini iaitu berundur secara terhormat.
“Umno tidak lagi boleh berbolak balik dalam menyokong titah YDP Agong. Perlu diingat MIC ialah komponen Barisan Nasional di mana parti Umno ialah tunjangnya.
“Justeru Umno mesti menyatakan pendirian terhadap kenyataan terbaru Presiden MIC,” katanya.