Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan bahawa tindakan menghalang wakil-wakil rakyat memasuki Parlimen adalah satu pelanggaran perintah yang telah dikeluarkan Dewan Rakyat sebelum ini kepada Ketua Polis Negara.
PH menyatakan kekesalannya terhadap tindakan kerajaan yang mengarah serta memperalat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghalang Ahli-Ahli Parlimen dari memasuki Parlimen.
Bahkan, mereka menyatakan rasa kesal apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara.
“keputusan Yang Dipertua membenarkan Ahli-Ahli Parlimen yang merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masuk ke Parlimen untuk mesyuarat semalam membuktikan bahawa Speaker wajib dipertanggungjawab atas arahan menghalang Ahli-Ahli Dewan Rakyat lain dari memasuki Parlimen.
“Beliau telah gagal melindungi dan mempertahan hak Ahli-ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan.
“Kami juga telah meminta Ahli-ahli Parlimen untuk membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, PH memetik usul Menteri Dalam Negeri pada 13 Julai 2020 sewaktu permulaan mesyuarat kedua Penggal ke-3, yang menyebut:
“Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke
Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini.
“Jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini dan setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu.”
Justeru kata PH, penting dijelaskan bahawa Parlimen sekarang masih berada dalam Penggal ke-3 oleh kerana tiada pewartaan proklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memprorog Penggal tersebut berdasarkan Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, tindakan mengugut dan menghalang Ahli-Ahli Parlimen dari menjalankan kuasa-kuasa seorang Ahli Parlimen yang sah di sisi undang-undang, melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda.
Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH, Mohamad Sabu; dan DAP, Lim Guan Eng.