Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir kembali kerahmatullah

Oleh BORHAN AHMAD

Ketua Pemuda AMANAH yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin kembali kerahmatullah hari ini selepas hampir sebulan berjuang melawan Covid-19.

Shazni menghembuskan nafasnya yang terakhir tengahari ini di Hospital Melaka ketika umurnya baru 34 tahun.

“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat dan rakan perjuangan kami, saudara Shazni Munir, Ketua Pemuda Amanah Nasional telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Mohon doa dan sokongan daripada semua agar keluarga beliau kuat lalui ujian ini,” kata ‘Asim ‘Abdullah, Setiausaha Pemuda Amanah Naisonal.

Shazni dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH pada 4 Julai 2020 selepas pemilihan semula di kalangan pimpinan pemuda di buat ekoran tindakan ketuanya, Hasnul Zulkarnain lari meninggalkan AMANAH.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan pada 5 Mac 2021, yang menggabungkan tiga kumpulan pemuda iaitu Pemuda AMANAH, Angkatan Muda Keadilan dan Pemuda Sosialis DAP.

Shazni Munir berasal Dari Segamat, Johor. Beliau lulus Sarjana Muda Pengajian Islam & Sains (Bioteknologi), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Semasa di UM, beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) & Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Selepas belajar, beliau bertugas di pejabat Menteri Besar Selangor di bawah Tan Sri Khalid Samad dan menyertai AMANAH apabila Pas berpecah.