Negara sedang berhadapan dengan tahap kritikal. Dengan lebih 20,000 kes Covid-19 sehari dan jumlah kematian melebihi 250 setiap hari, semua pihak perlu memberikan tumpuan untuk kepentingan negara.
Untuk itu, negara sangat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil sekarang iaitu kerajaan dan pemimpin yang mendapat sokongan majoriti besar rakyat.
Inilah sebenarnya yang dihasratkan oleh Yang Dipertua Agong sebagaimana yang dinukilkan oleh jurucakap Istana Negara sebelum ini.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam kenyataan media pada 16 Jun lagi itu.
Jika benarlah Tan Sri Mahiaddin Md Yassin akan melepaskan jawatannya esok, ketika inilah semua pihak perlu menjadikan ia sebagai titik mula untuk membentuk kerajaan yang stabil, kerajaan yang memberikan fokus kepada rakyat.
Selepas Mahiaddin meletakkan jawatan, Tuanku Yang Dipertuan Agong akan memilih seorang perdana menteri yang diyakini baginda akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Sokongan majoriti sahaja sekarang tidak akan membolehkan politik negara akan stabil. Ini kerana pihak yang terpinggir akan membuat bising dan kerajaan baharu akan digoncangkan kerana matlamat masing-masing adalah untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.
Jadi apa yang diperlukan sekarang sebenarnya?
Apa yang diperlukan sekarang adalah Yang Dipertuan Agong memilih seorang perdana menteri yang mendapat sokongan bukan sahaja majoriti tetapi majoritinya lebih dari dua pertiga.
Ia bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan memberikan sepenuh masa, fikiran dan tenaga untuk rakyat bagi negara melawan Covid-19.
Ada yang berkata, kerajaan PN sudah berjaya melawan Covid-19 apabila negara dijangka mencapai kadar vaksinasinya melebihi 80 peratus rakyat negara ini nanti.
Benarkah begitu? Saya tidak fikir begitu. Usaha melawan Covid-19 ini tidak akan selesai dalam masa satu atau dua tahun ini. Banyak negara yang sudah berjaya dalam memberikan vaksin kepada rakyat kini berdepan kenaikan mendadak kes baharu mereka.
Untuk itu, kerajaan yang stabil sangat diperlukan oleh negara bagi mengambialih kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin ini yang dijangka melepaskan jawatannya esok ini.
Bagaimana kita hendak membentuk kerajaan yang stabil? Inilah persoalan besar yang kita kena pecahkan.
Bagi saya, berdasarkan realiti keputusan rakyat dalam PRU-14 lalu, di mana tidak ada mana-mana parti yang betul-betul kuat, kesemua parti yang ada perlu bekerjasama.
Tuanku Yang Dipertuan Agong boleh memilih seorang pemimpin untuk menjadi PM dari kalangan mereka yang mampu dan terbaik untuk negara.
Beliau pula memilih menteri di kalangan mereka yang mampu menjalankan tugas yang terbaik untuk rakyat berhadapan dengan Covid-19 ini.
Dalam masa yang sama, semua parti politik utama tidak diketepikan dalam membuat pilihan ini.
Mahu tidak mahu, kumpulan besar dalam kalangan parti-parti politik yang ada perlu ada dalam kerajaan. Sudah-sudahlah dengan matra ‘No Dap, No Anwar’ yang cuba dipromokan oleh Umno itu.
DAP adalah satu-satunya single parti yang mempunyai MP paling ramai iaitu 42 orang. Yang Kedua adalah PKR yang dipimpin oleh Anwar yang mempunyai 38 MP.
Kalau ada usaha untuk mengenepikan kedua-dua mereka bermakna kita akan berusaha membentuk kerajaan yang tidak stabil.
Oleh itu, bagi saya, apa yang perlu dibuat oleh negara sekarang adalah membentuk kerajaan bersama yang mana semua pihak berada di dalamnya.
Apakah namanya…tidak penting. Yang penting kita perlukan seorang pemimpin yang sedia bekerjasama dengan semua parti dan semua parti sedia bekerjasama dengan beliau.
Saya amat tertarik dengan kenyataan Anwar semalam yang meminta semua ahli politik menghentikan segala dendam kesumat yang ada sebaliknya memulakan babak politik yang baru dan lebih waras.
Menurut Anwar, masalah utama di dalam politik negara pada hari ini terlalu banyak dendam kesumat dalam kalangan ahli politik.
“Kamu perintah dalam masa yang sama ada orang yang tekan kamu. Kamu penjarakan aku, aku penjarakan kamu.
“Itu dendam kesumat, inilah patut dihentikan.
“Kita harus mula babak baru politik lebih waras dan tidak menggalakan dasar atau tindakan berdasarkan dendam kesumat,” kata Anwar malam tadi.
Oleh itu, sekali lagi saya yakin Yang Dipertuan Agong mempunyai wisdom bagi mempastikan kerajaan yang bakal dibentuk selepas perletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin adalah kerajaan yang stabil dan memberikan fokus untuk negara.