Kematian seorang lelaki warga emas dipercayai lebih tiga hari sebelum mayatnya ditemui sudah mereput dalam bilik air sebuah rumah di Lorong 63, Taman Ria, Sungai Petani di Kedah hanya disedari jiran kelmarin.
Kematian lelaki berusia 79 tahun itu hanya disedari selepas jiran terhidu bau busuk sebelum bertindak menghubungi anak pasangan itu yang tinggal berasingan.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, si mati dan isterinya berusia 80 tahun mempunyai beberapa orang anak tetapi yang selalu bergilir-gilir datang menghantar bekalan makanan ialah seorang lelaki dan perempuan, lapor Kosmo! Ahad hari ini.
Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam bilik air yang berkunci selepas sepasukan anggota bomba memecah pintu rumah teres setingkat itu.
Isteri si mati yang uzur dan nyanyuk terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah mereka yang dikunci dari dalam serta tidak mengetahui suaminya telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bomba pada jam 1.45 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.
“Anak mangsa mendakwa kali terakhir dia bertemu bapanya pada 23 September lalu dan memberitahu yang mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Dia juga mendakwa bapanya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital,” katanya.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat,” kata Adzli lagi.