Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan jentera parti berkenaan pada malam esok untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Pengerusi PKR, Johor Jimmy Puah Wee Tse menerusi hantaran di platform Facebook hari ini bersama paparan maklumat berkaitan dengan pelancaran tersebut.
Berdasarkan paparan tersebut, majlis pelancaran itu dijadualkan berlangsung Sabtu ini pada sekitar jam 8 malam bertempat di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat.
“Pelancaran Jentara Pilihan Raya PH Johor. ‘We are ready’ (Kami sudah bersedia),” kata Jimmy yang juga merupakan Ahli Parlimen Tebrau itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Sebelum ini, PH Johor mengumumkan kesediaan dalam menggembeling usaha untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di negeri itu kali ini.
Kualiti Calon jadi Penentu Kemenangan?
Menerusi hantaran berikutnya, Jimmy mengakui bahawa PRN Johor pada kali ini menjangkakan persaingan yang lebih sengit kerana mungkin melibatkan pertandingan empat penjuru dengan kehadiran parti dan gabungan baharu.
Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat bahawa parti tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada logo, slogan atau sokongan tradisi sebaliknya mengutamakan kualiti calon untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.
“Selain ideologi parti, rekod pentadbiran dan hala tuju dasar, saya berpandangan bahawa faktor yang benar-benar boleh menjadi penentu kemenangan dalam PRN kali ini ialah kualiti calon.
“Seorang calon yang ideal bukan sahaja perlu mempunyai semangat politik. Tetapi juga perlu memiliki latar belakang pendidikan yang baik, nilai profesionalisme serta kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Calon tersebut perlu memiliki kemampuan memahami dasar awam, menguasai isu pembangunan setempat dan pada masa sama berupaya menerangkan isu-isu kompleks dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat,” katanya.
Calon Dikenali Komuniti Setempat
Menurut Jimmy, calon dikenali komuniti setempat adalah faktor yang penting kerana mereka memahami sentimen tempatan, mengetahui masalah harian dihadapi penduduk serta telah membina kepercayaan dengan akar umbi.
Hal ini kerana pengundi masa kini bukan sahaja mahu menyokong parti, tetapi mahu memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu mewakili kawasan, berkhidmat kepada masyarakat dan menjawab keperluan penduduk setempat.
“Inilah sebabnya mengapa bagi KEADILAN Johor, proses pemilihan calon tidak boleh dibuat secara sambil lewa. Kita perlu melalui proses lebih ketat dan teliti bagi memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja memenuhi kehendak parti.
“Tetapi juga menepati harapan rakyat terhadap seseorang wakil dalam era politik baharu. Persaingan pelbagai penjuru akan menjadikan keadaan politik lebih kompleks dan setiap kerusi akan mempunyai cabaran serta ketidaktentuan tersendiri.
“Namun atas sebab itulah kita perlu menampilkan calon terbaik, paling sesuai dan meyakinkan. Supaya rakyat dapat melihat bahawa KEADILAN bukan sahaja mempunyai idealisme dan hala tuju, tetapi juga memiliki bakat serta tenaga yang benar-benar mampu berkhidmat untuk Johor.” Ujarnya.
Baca juga: “Siap tarik baju minta duit” – Netizen dakwa budak minta sedekah ini muncul di banyak lokasi