Seramai 24 muka baharu berusia antara 30 hingga 40 tahun dikemukakan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata semua calon muka baharu terbabit akan didedahkan dengan ‘politik ala Sarawak’ bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin masa depan.
“Politik ala Sarawak ini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan.
“Lanskap politik Sarawak ini hanya orang Sarawak yang tahu, sebab itu kita memilih tema ‘Sarawak First’ dan ia akan didedahkan kepada calon-calon muka baru ini,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
PRN-12 yang akan diadakan 18 Disember ini melibatkan 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
GPS adalah gabungan empat parti iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PR) Parti Demokratik Progresif (PDP).
GPS yang dipengerusikan Abang Johari menetapkan untuk meletakkan calon di semua 82 kawasan.