Menyedari keperluan bagi mengatasi situasi banjir, kerajaan negeri Pulau Pinang siap siaga dengan menyediakan 35 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta lebih 70 buah bot di kesemua daerah yang terdapat di Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh ia meliputi daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, Barat Daya dan Timur Laut.
“Namun begitu lebih banyak PPS akan dibuka sekiranya keadaan memerlukan. Manakala kelengkapan bot-bot tersebut turut disediakan dengan kerjasama pasukan bomba sukarela.
“Selain itu pusat simpanan makanan kering serta keperluan lain juga telah disediakan termasuklah keperluan kaum wanita.
“Insiden banjir besar yang berlaku pada tahun 2017 memberi pengalaman luas kepada kerajaan negeri mengatasi dan mengendalikan kejadian seumpamanya,” ujar beliau.
Sehubungan itu Pulau Pinang juga telah sama-sama menghantar misi bantuan bencana banjir melalui aset dan kelengkapan melibatkan anggota serta jentera ke Selangor kelmarin