Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan yang berkembang susulan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bukan sahaja mengukuhkan keterjaminan bekalan tenaga demostik.
Sebaliknya, lawatan tersebut turut membuka peluang untuk Malaysia meneroka kerjasama strategik dengan Turkmenistan selain daripada sektor gas dan tenaga iaitu termasuk bidang melangkaui kepentingan komersial.
Berdasarkan laporan dikongsikan Anwar di platform Facebook, berikut kerjasama lain yang diteroka Menteri Kewangan itu dalam pertemuan mesra dan konstruktif dilakukan beliau bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.
- Perbincangan untuk memperluaskan peluang perdagangan dan pelaburan dua hala terutama dalam industri halal, sektor pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan.
- Menekankan kepentingan kerjasama melangkaui kepentingan komersial termasuk dalam pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat.
- Mempertingkat pelancongan dan kesalinghubungan penerbangan antara kedua-dua negara melalui pertukaran promosi, pameran serta memudahkan akses penerbangan.
- Memperkasakan mekanisme perundingan melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bersama supaya perbincangan dua hala lebih berkesan malah dilakukan secara tersusun dan progresif.
Kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkmenistan ini diperkukuhkan dengan pertukaran dokumen penting dan pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menjadi pemangkin kelangsungan hubungan dua buah negara.
Berikut adalah antara dokumen penting dan MoU yang dimetrai serta disaksikan oleh Anwar bersama rakan sekerjanya, Berdimuhamedov dalam rangka lawatan rasminya ke negara itu selama dua hari.
- MoU Akademi Sains Malaysia-Turkmenistan
- MoU pihak berkuasa penerbangan Malaysia-Turkmenistan
- MoU latihan diplomat antara kedua-dua kerajaan
- Perjanjian Perkhidmatan Udara Malaysia-Turkmenistan
- MoU Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Turkmenistan
- Kenyataan Bersama Malaysia-Turkmenistan
Semoga insiatif yang dilakukan pentadbiran diterajui Anwar ini berjaya mencapai matlamat terutamanya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Baca juga: PM Anwar kongsi laporan lawatan ke Turkmenistan, pencapaian hasil diplomasi Madani