Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh pembangunan Sarawak serta menyelesaikan isu-isu tertunggak melibatkan negeri itu melalui semangat kerjasama dan muafakat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena sambutan Gawai Dayak di Kuching malam tadi yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut Anwar, sambutan Gawai Dayak dan Kaamatan sentiasa diberikan perhatian kerana ia mencerminkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak.
“Gawai Dayak melambangkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Sarawak.
“Semangat Segulai Sejalai inilah yang terus memperkukuh silaturahim, persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan budaya,” katanya.
Beliau berkata, sejak menerajui Kerajaan MADANI, pelbagai perkara yang sekian lama tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya dilaksanakan hasil hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Anwar turut menyifatkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak sebagai langkah penting yang mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri itu mengurus aset strategik sendiri.
“Apabila sesebuah negeri ditadbir dengan baik dan dipimpin oleh kepimpinan yang berwibawa, hasilnya akan dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara peneraju industri tenaga dan ekonomi masa depan negara.
Katanya, kelebihan yang dimiliki Sarawak sering diketengahkan dalam pertemuan bersama pemimpin dunia dan pemain industri utama termasuk ketika lawatan rasmi ke Rusia, Turkmenistan dan Jepun baru-baru ini.
Menyentuh hubungan antara PETRONAS dan PETROS, Anwar berkata beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepakat bahawa semua isu yang masih berbaki perlu diselesaikan secara adil dan saksama.
“Kerjasama erat antara kedua-dua syarikat ini penting untuk mengangkat martabat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memainkan peranan dalam membantu pembangunan Sarawak demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Kita adalah satu pasukan. Kita bekerja bersama dan kita melakar kejayaan bersama,” katanya.
Baca juga: Bukan jamin bekalan tenaga je! Pertemuan PM Anwar-Presiden Turkmenistan bentuk kerjasama ini