Tular di media sosial mengenai situasi seorang penunggang RXZ yang dikatakan berhujan dan duduk di tepi lebuh raya hampir sembilan jam tanpa berbuat apa-apa.
Orang ramai bersimpati dengan nasib lelaki itu yang dipercayai sedang mengalami masalah peribadi.
Lelaki itu dikatakan berbaring di tepi lebuh raya dari jam 1 pagi sehingga keesokan harinya, sebelum pulang ke rumah selepas dipujuk pasukan bomba.
Selepas kejadian itu, difahamkan lelaki tersebut telah muncul di sosial media dengan meninggalkan komen pada salah satu pautan video mengenainya.
Dia yang menggunakan akaun _alifhairi mengucapkan penghargaan kepada netizen yang memberi kata semangat serta nasihat kepadanya untuk menempuhi ujian hidup.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua saya lelaki di video tersebut, Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, biasalah (ibarat) air ada pasang surut, tiba-tiba banjir besar kita terkejut.
“Kena ambil masa untuk surutkan kembali, kepada semua tolong jangan keluarkan apa-apa kenyataan pelik-pelik ya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya, terima kasih juga kepada yang ambil berat,” katanya.
Komen berkenaan menyentuh perasaan warganet di mana rata-ratanya memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada lelaki terbabit untuk terus menguatkan diri menghadapi ujian hidup.