Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyumbangkan satu bulan gaji sebagai permulaan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit demi membantu mangsa tragedi banjir di negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri menubuhkan tabung tersebut dan mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat swasta, korporat dan GLC serta individu.
Dalam sidang media khas berkenaan situasi banjir di negeri itu, Amirudin berkata, Selangor memperuntukkan RM100 juta Ikhtiar Selangor Bangkit dengan RM20 juta bagi operasi pembersihan dan pemulihan manakala RM80 juta bagi pembinaan semula infrastruktur.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menyumbang RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir yang terkorban manakala sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir.
Jelasnya, kerajaan negeri turut bersetuju memberi pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam dan usahawan Hijrah yang terkesan dengan implikasi kewangan mencecah RM15 juta.
Dalam masa sama, kerajaan negeri juga memberi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada semua akaun yang terkesan dengan banjir.
Selain itu, Amirudin memberitahu sebanyak 453 jentera dan kenderaan daripada pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terlibat dalam sepanjang operasi mencari dan menyelamat.
Agensi dan jabatan terbabit ialah Angkatan Pertahanan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).