Putrajaya gempar rasai gegaran gempa bumi dari Sumatera

Oleh ARIF ATAN

Kakitangan kerajaan dan penduduk di apartment sekitar Putrajaya gempar apabila mengalami kesan daripada kejadian gempa bumi yang berlaku di utara Sumatra pada jam 9.39 pagi tadi.

Gegaran dalam tempoh satu hingga dua minit turut dirasai penduduk di Presint 14, 16 dan 17 dan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia itu.

Akibat ‘tempias’ gegaran gempa bumi berukuran magnitud 6.1 itu, kakitangan di beberapa bangunan kerajaan di Putrajaya turut diarahkan keluar.

Pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Putrajaya berkumpul di padang selepas dikejutkan dengan gegaran gempa bumi pagi ini.

Turut merasai gegaran beberapa kawasan di Selangor termasuk Shah Alam, Port Klang dan Cyberjaya serta di negeri lain di Pantai Barat Semenanjung iaitu Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Jabatan Metereologi dalam satu hantaran melalui Twitter, berkata pusat gempa bumi itu terletak di kedudukan 0.2° U dan 100.0° T dengan kedalaman 10 kilometer, 76 kilometer Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia.

Bagaimanapun, jabatan tersebut berkata, tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi itu.

“Saya rasa gempa bumi di Shah Alam dalam 5 saat. Agak kuat. Terasa meja saya bergegar,” kata seorang pengguna Twitter pagi ini.

gempa bumi Sumatera Putrajaya Shah Alam magnitud 6.1