Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meneruskan Jelajah Johor dengan mengadakan sesi minum pagi bersama peladang dan nelayan di Medan Selera Kampung Melayu Larkin, hari ini.
Mohamad berkata pertemuan santai itu memberi peluang kepadanya mendengar secara langsung pandangan, masalah serta cadangan daripada golongan peladang dan nelayan mengenai isu yang dihadapi mereka.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyediakan pelbagai bantuan, insentif serta program bagi membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan golongan berkenaan.
“Semua usaha ini bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran, menambah pendapatan dan memastikan kebajikan peladang serta nelayan terus terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohamad berkata, dasar yang baik perlu dibina berasaskan suara rakyat, justeru beliau komited untuk terus turun padang bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada kumpulan sasar.
“Bang Mat percaya, dasar yang baik bermula dengan mendengar sendiri suara rakyat.
“Sebab itu Bang Mat akan terus turun padang untuk bertemu peladang dan nelayan, supaya setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan MADANI akan terus komited membela nasib golongan peladang dan nelayan kerana mereka merupakan antara tulang belakang kepada usaha menjamin keterjaminan makanan negara.
Baca juga: Anwar rayu pengundi Johor beri peluang kepada PH, janji pertahan kepentingan rakyat