Hasrat pasangan warga emas untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terkabul apabila mereka berjumpa secara bersemuka dalam rangka kunjungan pemimpin itu di Senggerang, semalam.
Difahamkan, pasangan berkenaan tular sebelum ini kerana sang suami sanggup mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer semata-mata untuk menunaikan hasrat isterinya yang mahu melihat Anwar dengan lebih dekat.
Dalam kejadian pada hujung minggu lalu itu, mereka tidak berkesempatan untuk bertemu Anwar kerana terlalu ramai orang membanjiri lokasi kunjungan pemimpin berkenaan sehingga menyebabkan keadaan terlalu sesak.
Pertemuan itu akhirnya berjaya direalisasikan semalam selepas Anwar meluangkan masa untuk menyantuni warga emas terbabit ketika menghadiri program ‘Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan’ di Senggarang semalam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut memuat naik gambar pertemuan beliau dengan Abdul Razak Pelangga, 86, bersama isterinya, Jamilah Samsudin, 64, itu menerusi perkongsian di platform Facebook.
“Alhamdulillah, akhirnya dapat ketemu saudara Abdul Razak dan isterinya, Jamilah, sewaktu kembali ke Senggarang semalam. Terharu dengan tekad saudara Abdul Razak yang sanggup mengerah kudrat mengayuh beca bersama isteri untuk bertemu saya minggu lalu.
“Terima kasih atas dukungan dan doa yang diberikan. Moga kalian berdua terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan afiyah yang berpanjangan, insya-Allah,” kata pemimpin nombor satu negara merangkap Presiden PKR itu di akaun Facebook miliknya.
Sekadar info, Abdul Razak yang merupakan Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis itu pernah mengimamkan Anwar bertahun lama dahulu dan sikap mesra pemimpin terbabit pada ketika itu cukup terkesan di hatinya sehingga ke hari ini.
Baca juga: “Semoga Tun terus sihat…” Anwar titip doa buat Tun Dr Mahathir sempena ulang tahun ke-101