Halang pekerja keluar mengundi? SPR ingatkan majikan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara

Oleh MALAYSIADATELINE

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan bahawa majikan wajib memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang merupakan pengundi berdaftar untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Peringatan itu dikeluarkan menjelang Hari Mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 yang berlangsung esok.

Dalam kenyataan media pada Khamis, SPR memaklumkan pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung kemungkinan terdapat majikan yang tidak membenarkan pekerja keluar mengundi.

Sehubungan itu, SPR meminta semua majikan memberikan masa yang munasabah kepada pekerja yang layak sebagai pengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara pada Hari Mengundi PRU Dewan Negeri Johor Ke-16.

SPR turut mengingatkan bahawa perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Menurut SPR, majikan tidak dibenarkan membuat sebarang potongan gaji, mengurangkan saraan atau mengenakan apa-apa bentuk penalti terhadap pekerja hanya kerana mereka keluar mengundi.

“Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan memberikan tempoh yang munasabah atau menghalang pekerja daripada mengundi adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama satu tahun,” menurut kenyataan itu.

SPR turut berharap semua majikan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar serta menggalakkan penyertaan pengundi yang tinggi dalam PRU Dewan Negeri Johor Ke-16.

Baca juga: ATM dah percuma, kad kredit lebih murah! Ini 3 berita baik untuk rakyat dan PMKS