Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub amat menyokong inisiatif kerajaan Negeri Sembilan, yang diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk membangunkan projek penanaman jagung bijirin bagi penghasilan makanan ternakan di tanah tapak bekas Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Tampin.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, perancangan tersebut dimaklumkan akan menerusi Program Sekuriti Makanan yang merupakan kerjasama antara Menteri Besar Diperbadankan (MBD) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Tanah tersebut asalnya merupakan kawasan ternakan lembu fidlot. Namun, kita dikhabarkan banyak projek telah dilakukan sebelumnya tetapi tidak berjaya memastikan kelangsungan projek dan ternakan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, hasrat penubuhan dan operasi PFN kira-kira 15 tahun lalu selaras dasar kerajaan untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.
Kerajaan kemudiannya menandatangani perjanjian dengan National Feedlot Corporation (NFC) yang diuruskan suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Perjanjian pada 6 Disember 2007 dengan NFC itu melibatkan pinjaman berjumlah RM250 juta. Bagaimanapun dana yang dipinjam daripada kerajaan itu didakwa disalahguna antara lain untuk membayar sewa bulanan lot pejabat, membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman, serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram menegaskan tindakan segera termasuk merangka dan melaksanakan inisiatif-inisiatif tertentu untuk menggalakkan kegiatan pertanian adalah wajar dilakukan ekoran isu inflasi serta krisis bekalan makanan yang sedang berlaku pada masa ini.
Tambahnya lagi, langkah-langkah tersebut perlu dibuat bagi memperkasakan agro-makanan domestik supaya sumber pengeluaran bekalan bahan mentah dan makanan dalam negara dapat ditingkatkan.
Baca Rakyat tertanya di mana kek aku yang dihiris-hiris
Baca Singapura jadi negara keenam halang Ustaz Somad masuk negara