‘Menteri Belia dan Sukan yang amat mengecewakan’

Oleh ARIF ATAN

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong menegaskan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai amat mengecewakan ekoran prestasi terburuk Malaysia dalam Sukan SEA.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam tersebut berkata, reaksi Menteri Belia dan Sukan dari parti Bersatu itu yang kecewa dengan kontinjen negara tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet seolah-olah mereka gagal menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

“Nak prestasi macam mana? Bajet persiapan sukan kena potong hampir 80 peratus. 253 atlet kena tamatkan elaun.

“Yang masih dapat elaun ada yang sampai kena potong 60 peratus elaun mereka,” katanya.

Steven Sim berkata demikian sebagai reaksi terhadap kekecewaan Faizal selepas kontinjen negara masih berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura walaupun sudah mencapai sasaran awal 36 pingat emas.

“Saya dah warning sejak November 2021 bahawa tahun ini sektor sukan kita akan merudum sebab kegagalan kepimpinan Menteri dan pemotongan mendadak bajet sukan.

“Kini, terbukti kita mendapat pencapaian paling buruk di Sukan SEA dalam 40 tahun. Ramai dah bagi warning, Menteri buat tak tau. Sekarang dah teruk, dia buat kecewa.

“Menteri yang amat mengecewakan!” tegas Steven Sim lagi.