Datuk Seri Dr Mujahid Yusof diserang teruk oleh para penyokongnya berikutan tindakan beliau menerima huluran tangan Datuk Ashraf Wajdi Dusuki untuk berdamai.
Mereka kesal kerana, serangan-serangan fitnah yang dibuat terhadap Mujahid ketika menjadi Menteri Agama dahululah antara punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
Bagi mereka, Mujahid tidak wajar menarik balik samannya terhadap Ashraf tetapi meneruskan saman beliau kerana itulah caranya untuk mengajar pihak-pihak yang membuat fitnah terhadap beliau dahulu.
Namun, Dr Mujahid sebagaimana tindakan beberapa pimpinan AMANAH sebelum ini, tidak mengambil kira faktor itu. Bagi beliau, yang benar tetap benar walaupun pahit untuk ditelan hatta oleh penyokongnya.
Sebelum ini, Mohamad Sabu, Presiden AMANAH juga menarik balik samannya selepas penulis Harakah, Roslan Shahir bersetuju menarik balik tulisannya yang menyerang beliau serta memohon maaf.
“Saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Mohamad bin Sabu sekiranya Artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama baik YB Mohamad bin Sabu. Saya juga telah meminta pihak Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran Artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi menggunapakai dan membuat rujukan kepada Artikel tersebut di masa hadapan,” tulis pemimpin Pas Selangor itu dalam permohonan maafnya pada 18 November 2021.
Sebelum itu, seorang lagi pemimpin AMANAH, Khalid Samad menarik balik samannya terhadap Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berhubung kenyataan yang dikeluarkannya di Facebook berhubung penganjuran pesta gay di Kuala Lumpur selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 3 September 2019 lalu.
Kes saman itu selesai secara baik, selepas Wan Asshima, 35, selaku defendan memohon maaf dengan membacakan permohonan maaf terhadap Khalid, 62, selaku plaintif dan direkodkan oleh Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.
Menerusi kenyataan maaf itu, Wan Asshima mengakui kesilapan fakta di dalam video yang diterbitkan menerusi video dalam akaun Facebook beliau pada 18 Ogos 2018.
Tindakan Mohamad Sabu dan Khalid tersebut turut dikesali penyokongnya, namun mereka bertegas akan menerima permohonan maaf dan berdamai apabila diminta.
“Inilah sifat pemaaf yang diajar oleh para Nabi dahulu. Kalau musuh kita menghulurkan tangan untuk berdamai, terimalah.
“Kalau kita pemimpin AMANAH tidak mengikut ajaran Nabi, siapa lagi yang akan berbuat demikian,” kata Mujahid.
Mujahid mempertahankan tindakannya menarik balik saman beliau terhadap Ashraf Wajdi, bekas timbalan menteri agama itu selepas Ketua Pemuda Umno itu setuju menarik balik tulisan beliau dan beberapa persetujuan yang lain.
Kes ini diselesaikan di luar mahkamah kelmarin dengan hakim merekodkan persetujuan bersama mereka.
Dakwaan tersebut dibuat Asyraf dalam satu hantaran bertajuk “Tabung Haji jual RM2.6b ekuiti: YB Mujahid harus segera beri penjelasan”, dan telah dimuatnaik pada 30 September 2019.
Berdasarkan persetujuan, Asyraf perlu membuat hantaran bertulis di akaun Facebook miliknya berhubung dengan persetujuan untuk menarik balik kenyataannya sebelum ini.
Bagi Mujahid, tindakan Ashraf adalah kemenangan untuk beliau kerana beliau hanya menuntut kebenaran diserlahkan bukan untuk saman menyaman.