Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong hari ini bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.
Keberangkatan tiba baginda pada pukul 8.45 pagi itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dikongsikan di akaun Facebook milik Menteri Kewangan terbabit.
Seri Paduka Baginda kemudian dipersembahkan dengan hormat Diraja, disusuli alunan lagu Negaraku serentak dengan tembakan 21 das meriam kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Menerusi perkongsian itu, Anwar menjelaskan bahawa Panji-Panji ini adalah satu penghormatan, lambang kemegahan dan semangat ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Raja serta Negara.
“Mengiringi KDYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.
“Istiadat bagi menzahirkan penghormatan tertinggi ini menyaksikan lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak yakni Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Panji-Panji ini adalah satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Raja dan Negara. Daulat Tuanku,” katanya dalam perkongsiaan itu.
Sekadar info, istiadat dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom.
Selepas Seri Paduka Baginda selesai memeriksa perbarisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan bersama perarakan lima panji Yang di-Pertuan Agong dengan penuh istiadat ketenteraan.
Istiadat ini diadakan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
Baca juga: Dakwaan Hospital Segamat bakal ditutup cetus kebimbangan, doktor bertugas jelaskan apa berlaku