Selepas penerbit filem untung banyak, MB Pahang kata mungkin Studio Kembara boleh kongsi atau bina rumah Mat Kilau

Oleh ARIF ATAN

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan pembinaan semula rumah pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau mungkin boleh dilakukan dengan kerjasama penerbit filem Studio Kembara.

Pemimpin BN tersebut dalam sidang akhbar pada majlis penyerahan surat lantikan program ‘Pahang Talent’ di Kuantan semalam berkata, hal ini memandangkan penerbit filem berkenaan telah mengaut banyak keuntungan.

Menurutnya, cadangan pembinaan rumah tokoh pejuang yang meninggal dunia pada tahun 1970 itu perlu dinilai dengan teliti dan berhati-hati.

Untuk rekod, terdapat dua rumah peninggalan Mat Kilau iaitu di Pulau Tawar, Jerantut dan Batu Lima Jalan Gambang, Kuantan.

“Kita sedang fikirkan (cadangan bina semula rumah) sebab kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru sebab Mat Kilau, semasa hampir meninggal dunia beliau berpindah ke Kuantan.

“Rasanya di Jalan Gambang daripada rumah abangnya. Jadi, kita kena pilih yang mana satu (lokasi) betul-betul sesuai dan tepat.

“Berkemungkinan kita mungkin boleh bekerjasama dengan penerbit filem itu (Studio Kembara) kerana mereka pun sudah mengaut keuntungan tinggi…

“Mungkin kita boleh berkongsi atau suruh mereka bina,” kata Wan Rosdy lagi.

Sebelum ini, seorang waris Mat Kilau menyatakan persetujuan dengan cadangan membina sebuah galeri tokoh pahlawan itu di Kuantan sebagai tempat rujukan.

Setakat 5 Julai lalu, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof memperoleh kutipan RM51.8 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Filem epik Melayu yang mencetuskan fenomena itu dikatakan mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak naskhah pertama Laila Majnun pada 1933.

Baca juga Ketika ‘Mat Kilau’ gegar pawagam, pengkaji sejarah ini impikan Perang Musuh Bisik pula difilemkan