Kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Negeri mereka jika Parlimen dibubarkan ketika musim banjir sekarang.
“Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan memberikan tumpuan kepada membantu mangsa banjir dan bukan mengadakan pilihan raya.
“Oleh itu kita berharap Yang Dipertuan Agong mengambil kira sentimen ini,” kata Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat hari ini telah disertasi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan bercakap dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mesyuarat yang disertai oleh semua pemimpin utama ke empat-empat parti gabungan Pakatan Harapan itu memutuskan pilihan raya negeri hanya akan diadakan selepas banjir reda di negeri-negeri berkenaan.
Keputusan Pakatan Harapan ini dibuat ketika Umno terus mendesak perdana menteri agar membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke 15 diadakan segera walaupun banjir mula melanda negara.
Semalam Ipoh, Jasin dan Bangsar di landa banjir kilat ekoran musim monson yang mula melanda negara.