Walaupun ada bantahan, ramai tidak bersetuju dan sebilangan rakyat kecewa pilihanraya diadakan dalam suasana musim tengkujuh yang diramalkan oleh Jabatan Meteolroogi Malaysia boleh membawa bencana parah. Namun PRU15 akan terus diadakan. Umno/BN menekan PRU segera pada tahun ini juga.
Telah menjadi pengetahuan umum bahaewa PRU15 kali ini adalah kerana kebimbangan terhadap terbukanya banyak lagi skandal dan kisah ngeri penyelewengan mereka yang mungkin tidak dapat dibendung.
Bibit-bibit fitnah dan gerak saraf Umno/BN telah berjalan bagi membentuk persepsi rakyat bahawa mereka (pimpinan Umno/BN) telah teraniaya, mangsa pendakwaan terpilih, skandal yang konon dicipta oleh PH bagi merosakkan imej Umno dan pimpinannya.
Ia termasuk skandal kapal tempur pesisir -LCS, skandal 1MDB yang masih belum selesai, projek solar yang juga melibatkan sogokan ratus juta dan projek-projek mewah lain yang menjadi mimpi ngeri Umno/BN jika berlaku lagi pendedahan lain.
Presiden Umno kelihatan dalam kebimbangan peribadi terhadap apa yang sedang dihadapinya, cuba juga membina persepsi (walau kemudian dinafikan dengan dakwaan salah petik) bahawa kemenangan selain dari BN dalam pilihanraya ini akan menyebabkan banyak lagi pendakwaan, termasuk ‘in the pipe line’ Timbalan Presiden Umno, Presiden MIC dan beberapa pimpinan BN lagi. Ucapan beliau dalam konvensyen MIC bukan lagi perkara sulit, tapi ia amat terbuka dan boleh dicapai dan diakses oleh sesiapa dilaman-laman sesawang.
PRU15 merupakan sempadan perubahan yang perlu dilepasi untuk tidak lagi mengizinkan Umno/BN berkuasa, mahupun mengembalikan pengkhianat dari PN menerajui semula kerajaan. Di samping itu undi jangan sekali diberikan kepada dalang pengkhianatan yang kini berselindong atas jenama parti baharu dan sekutunya.
Sekiranya rakyat tidak dahagakan perubahan dan masih mahu berdakap dengan BN/Umno dan PN yang keji, busuk dan hancing, maka kita akan kembali terperangkap dengan amalan salah guna kuasa, rasuah, kronisma, nepotisma dan melumpuhkan negara ke kancah ekonomi parah dan tatakelola yang lebih burok.
Jika kita bersetuju pula dengan PN dan para pengkhianat maka kita bersekongkol dengan mereka yang telah mengkhianati mandat rakyat dan mereka merupakan kerajaan gagal menangani isu ekonomi negara ketika pandemik, mengisytihar darurat ketika tiada keperluan untuknya kecuali bagi berkuasa dan tambahan pula pengkhianatan adalah musuh kepada perubahan (total reform).
Rakyat Malaysia terutamanya anak muda harus mengambil langkah lebih drastik dari PRU14 dan menafikan samasekali pemfitnah, penunggang agama, kleptokrat, pengkhianat atau pakar lompat dari menjadi ahli parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan. Masa depan negara terletak di tangan pengundi terutamanya anak muda.
Dalam keresahan terhadap ekonomi tidak menentu dunia, keadaan pandemik Covid_19 yang masih belum reda sepenuhnya, kenaikan harga barang, keselamatan makanan, ketiadaan bank benih (seed bank), semua ini tidak dipedulikan secara serius oleh BN mahupun PN. Kalau ada pun hanya tindakan bersifat politik yang hanya menyentuh kulit isu tersebut, tidak mendalam dan tanpa strategi yang mampan.
Bajet yang dibentang baru-baru ini tidak banyak mengambil kira banyak faktor untuk memberikan peluang pekerjaan kepada genarasi akan datang, pembangunan teknologi dan industri baharu, menarik pelaburan jangka panjang untuk negara, merebut persaingan dirantau ini bagi mengatasi atau seiring dengan Indonesia, Singapura dan Thailand. Semua yang di laungkan oleh kerajaan BN/PN hanyalah pembentangan retorik dan janji penoh kepalsuan.
Hujah dalam falsafah bajet 2023 yang telah dibentang (dan BN jika menang berhajat menbentang semula) amat tidak jelas dan tidak berpijak di bumi nyata. Walau apa pun janji BN/PN terhadap pembentangan semula bajet jika menang, ia tidak boleh samasekali dipercayai. Selepas 60 tahu pasca kemerdekaan, sejarah penyalah-gunaan kuasa, rasuah, pembentukan jamaah menteri dikalangan kleptokrat dalam kerajaan pimpinan BN wajib ditamatkan samasekali.
Anak muda perlu ingat bahawa bajet ini hanya gula-gula, yang dari segi perlembagaannya TIDAK SAH kerana tiada perbahasan dan kelulusan parlimen, kerana parlimen telah dibubarkan terlebih dahulu. Anak muda jangan terpersona. Strategi BN/Umno sudah semesti seperti sediakala untuk mengelabui mata rakyat dan tidak peduli dengan sah atau tidaknya bajet, melainkan untuk menyuap gula-gula penipuan dan pembohongan mereka.
Akhirnya, mengundi BN/Umno dan PN mahupun GTA adalah malapetaka kepada negara dan rakyat. Malapetaka yang amat memudharatkan. Ekonomi tidak menentu, peluang pekerjaan, salah guna kuasa, tata-kelola yang buruk (bad governance), perkauman dan penggunaan agama akan menjadi barah teruk yang merebak kedalam kehidupan rakyat. Rasuah akan menjadi tunjang kehidapan, salah guna kuasa akan menjadi pra-syarat dalam mentadbir negara, amalan kronisma dan nepotisma akan membudaya kembali.
Sekolah anak-anak akan hanya ada rangka solar panel namun sekolah dan asrama masih bergelap, jutaan wang telah dibelanja untuk projek namun hasilnya tiada. Berbilion wang dikeluarkan untuk projek kapal tempor namun tiada kapal pun disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, yang kayaraya hanyalah kontraktor dan subkontraktor dan juga pembesar-pembesar yang rakus untuk mengkayakan anak-isteri dan diri sendiri. Belum lagi projek tebatan sungai untuk membendung banjir, pembinaan bangunan dalam universiti yang melampaui kos sebenarnya, projek jalan terbengkalai dan projek desa-desa baharu yang tidak sempurna, yang ada hanya majlis perasmian memotong reben.
Balairaya, dewan sekolah, dewan universiti dan premis kerajaan hanya diguna oleh pembesar-pembesar Umno/BN untuk aktiviti propaganda mereka, sedang kumpulan selain BN/Umno dilarang. Sedangkan bukan mereka sahaja sebagai pembayar cukai. Itupun jika mereka membayar cukai! Umno/BN tidak tahu membezakan diantara Umno sebagai parti politik dan Kerajaan Malaysia.
Oleh itu Umno/BN wajib dikuburkan dalam pilihanraya ini. Begitu jua pengkhianat PN dan GTA yang cuba meletakkan kembali ‘dalang’ kejatuhan kerajaan PH selama 22 bulan. Berilah peluang untuk PH menyambung visi dan misi 22 bulan yang tertangguhnya untuk diberikan satu penggal penuh.
Saksikan perubahan yang akan berlaku (pada pentadbiran, pengurusan dan tatakelola kerajaan) lima tahun lagi sehingga sekurang-kurangnya hingga tahun 2027. Jika tiada juga perubahan, buatlah keputusan di lima tahun akan datang! Sesungguhnya mengundi Umno/BN, PN dan GTA adalah suatu penyesalan dan malapetaka.
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi.