Anwar dan cabaran arus politik yang ‘berlari kencang’ di media sosial

Oleh KIM SYAZIE

Apa yang menarik daripada pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia ialah proses kecepatan maklumat yang berlari kencang menerusi teknologi khususnya di media sosial.

Saya ingin menumpukan kepada aspek dromologi dan kecepatan dalam kekencangan data, visual dan maklumat yang diterima dalam noktah sesaat atau lebih pantas daripada itu.

Ia adalah teknologi berlari kencang dalam kecepatan digital. Mungkin tidak ramai yang sedar akannya.

Boleh dikatakan selepas satu saat, berita pengumuman Anwar sebagai PM ke-10 disiarkan di media sosial seperti Whatsapp, Twitter dan TikTok yang dihujani dengan pelbagai visual, klip, troll, berita, catatan dan pandangan yang keluar
menderu-deru dan perubahan kecepatan bagaikan angin kencang lagi laju masuk bertali arus.

Sesetengah portal berita mungkin telah menyediakan visual ucapan tahniah sejak 5 atau 4 hari lalu dan menunggu pengesahan pengumuman Anwar sebagai PM untuk disiarkan.

Dalam hubungan ini Anwar dalam kecepatan visual dan berita dalam media sosial berdepan dengan suatu suasana yang diistilahkan sebagai dromologi.

Dromologi ialah istilah diperkenalkan ahli falsafah pasca moden dan semiotika Perancis bernama Paul Virilio.

Penggunaan istilah dromologi bagi Virilio menjelaskan ilmu mengenai kecepatan dalam pelbagai fenomena kehidupan.

Oleh itu dromologi atau kecepatan dianggap sebagai fenomena baharu, yang berhubungan dengan proses percepatan dan kekencangan sama ada berkaitan komunikasi, pengangkutan, telekomunikasi, perkomputer iaitu teknologi sebagai alat penggerak.

Apa dimaksudkan Virilio ialah kelajuan dalam teknologi penyiaran maklumat, visual dan berita menguasai misalnya pengumuman pelantikan Anwar sebagai PM telah mencetuskan perubahan yang cepat dalam tanggapan dari saat ke saat dalam pembentukan pandangan masyarakat sama ada positif dan negatif, terutamanya di pentas media sosial.

Ia telah membawa perubahan ke atas pola hidup masyarakat di mana kecepatan teknologi menyebabkan berlakunya penyingkatan waktu dan lenyapnya batas geografi.

Dalam hubungan ini fenomena dromologi atau kecepatan yang dikaitkan dengan politik dimaksudkan sebagai politik yang berlari kencang.

Ia juga bermaksud pemerintahan dan juga pembentukan kerajaan yang dikuasai oleh percepatan.

Istilah ini dipetik daripada buku Virilio, The Lost Dimension yang mengatakan bahawa dalam dunia dikuasai oleh kecepatan, perang politik ruang sekarang berubah menjadi perang politik waktu.

Inilah cabaran yang dialami Anwar sekarang terutamanya semasa tarik menarik dalam penentuan gabungan yang akan memerintah sehingga memerlukan campur tangan istana dan raja-raja Melayu yang merupakan cabaran serta tentangan masa dan kelajuannya.

Keadaan negara berdepan dengan waktu dan jangka masa yang singkat serta data, visual dan maklumat serta troll yang bermaharajalela di medan media sosial.

Dalam politik dromologi, strategi politik bukan sahaja meliputi persoalan menguasai wilayah atau ruang, tetapi masa yang diutamakan.

Apa yang menjadi taruhan ialah bagaimana medan media sosial mampu merubah persepsi masyarakat dalam kadar dan tempo yang cepat.

Itulah mengapa politik sekarang seolah-olah berlumba-lumba, berlari kencang dalam tempo yang tinggi di media sosial sehingga membawa perubahan ke realiti politik.

Jika sebelum berita pengumuman ini, pengaruh teknologi media sosial berada dalam seribu adu domba fitnah bercampur kebenaran, mencetuskan raflah di dalamnya.

Dalam pintasan waktu, nama Anwar akan tersemat sebagai pemimpin yang bergelut dengan teknologi politik kecepatan dan telah berjaya melawan arus kencang ini.

Dalam dunia politik, lahap sang politikus sangat berbahaya kerana waktu dan kecepatan ditafsir berdasarkan dimensi keuntungan semata-mata, ditambah dengan lahap teknologi oleh tindakan cyber trooper.

Ini kerana lahap politik selari dengan kecepatan dan kepantasan teknologi.

Oleh itu Anwar dan Kerajaan Perpaduannya perlu berada dalam kewaspadaan tempo tinggi

Apa lagi dengan lahap gerombolan politikus berdimensi kecepatan dengan modal politik (percaturan politik) akan mengosong dan mengetepikan dimensi perenungan.

Dan ini adalah cabaran Anwar dalam mengemudi pembangunan penuh kearifan dan pencarian makna hidup yang sejati.

Cabaran supaya mengemukakan Usul undi percaya atau keabsahan di Parlimen 19 Disember ini di mana Perdana Menteri Anwar yakin dengan majoriti dimiliki

Kerajaan Perpaduan dan bersedia menguji keabsahannya di Parlimen adalah cabaran kepada politik kecepatan dan kekencangan itu.

Katanya, beliau bersedia berbuat demikian dengan mengusulkan undi percaya pada hari pertama sidang Parlimen pada 19 Disember depan.

Keadaan ini juga akan mencetuskan pelbagai reaksi dan fitnah dalam politik kekencangan.

Dalam berhadapan dengan politik kecepatan, Anwar dan pasukan Kabinetnya harus mengelak daripada terjebak dalam pola kecepatan maklumat yang membawa kepada pola kesementaraan, pemecahan dan tidak kesinambungan atau keruntuhan dan kegagalan pasukan Kerajaan Perpaduannya itu.

Kita berharap kelajuan kencang modal politik yang dibina atas motif kepentingan ekonomi dan dipengaruhi teknologi media sosial berjaya disekat dan dibendung dan dilemahkan.

Anwar harus menanamkan budaya nilai politik luhur dan insaniah dalam budaya politik negara terutamanya ketika berdepan dengan perubahan maklumat yang masuk dan keluar serta menjauhi manusia politik berwatak ‘homo-animalis’ atau ‘homo-kriminalis’.

Ini kerana sebagaimana kita sendiri baca dan tonton cacatan, troll dan visual berunsur fitnah dalam politik dromologi (kecepatan) boleh mengheret manusia berjiwa dan berwatak kanibal atau haiwan serakah serta menjadi manusia
penjenayah maklumat di media sosial.

Ciri manusia politik semacam itu biasanya akan melakukan pelbagai tindakan yang
tidak manusiawi, kekerasan dan kejahatan dalam rangka membangunkan kekuasaan ekonomi-politik kepentingan puak dan kelompok.

Itulah mengapa Anwar sebagai Perdana Menteri dalam politik dromologi, harus bertindak menguasai waktu dan ruang kerana jika tidak, ia akan memakan diri beliau dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

Dalam politik dromologi, kecepatan politik jika tidak diawasi dan diatasi akan menggiring pada proses penghancuran politik itu sendiri dalam erti kata yang membabitkan prinsip, kualiti, nilai dan makna.

Ia mengubah bentuk dan tempo kehidupan, cara hidup, hubungan sosial, pertukaran ekonomi, pertarungan politik, panggung seni, nilai budaya dan makna kerohanian-keagamaan.

Sebab itulah, al-Quran menekankan ‘Demi Masa’, seolah-olah seperti sumpah Allah SWT kepada waktu. Bacalah surah al-Asr supaya kita menghayati surah dengan ukuran zaman sekarang.

Tahniah Anwar.


Kolumnis adalah pensyarah Unisel