Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang berani mengesahkan posisinya sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Beliau berkata, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun amat berani mahukan usul undi percaya dibuat terhadapnya di Dewan Rakyat.
“Namun, Datuk Yang Di-Pertua saya kira amat berani YAB PM KE-10 mahu ‘vote of confident’ atau undi percaya ini dibuat di Parlimen.
“Saya kira Tambun (Anwar) sangat berani untuk mengabsahkan posisi beliau sebagai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Ke-10 (PM-10),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat sesi petang hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) meminta usul undi percaya Perdana Menteri ditarik semula supaya tidak dibincangkan, sekali gus mengesahkannya.
“Junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa keputusan Baginda telah dibuat dan itu kita terima. Tak perlu dibawa keabsahan,” katanya.
Terbaharu, Anwar sah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Usul percaya itu dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ia dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen.
Usul percaya tersebut tidak dibuat melalui pengundian belah bahagi seperti pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.
Sebaliknya usul diluluskan melalui undi suara majoriti dengan lebih suara yang menyokong.
Berdasarkan pengundian yang berlaku hari ini, dapat dilihat jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Anwar berkata, usul undi percaya kepadanya bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Baca Juga: Anwar lulus undi percaya, dapat sokongan majoriti sebagai PM
Baca Juga: Tak puas hati istilah Kerajaan Perpaduan: Rafizi sindir pembangkang rujuk pada Pagoh dan Marang