Dua ciri ulama su’ yang paling berbahaya dalam masyarakat

Oleh MALAYSIADATELINE

Dua ciri ulama su’ yang paling berbahaya di dalam masyarakat kita pada hari ini ialah ulama su’ yang menyesatkan orang ramai dengan ajaran sesat dan kedua, ulama su’ yang menjadi tukang sebar fitnah.

Golongan pertama ini menyesatkan orang ramai dengan ajaran dan fatwa-fatwa mereka yang salah.

Ulama-ulama demikian suka mentafsir ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis nabi mengikut nafsu sendiri.

Apa yang sebenarnya `haram’ menurut Allah swt dikatakan `halal’, dan sebaliknya.

Ulama su’ jenis kedua adalah ulama yang menjadi penyebar fitnah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Ulama jenis ini merupakan golongan ulama yang paling berbahaya sekali.

Ini kerana ia bukan hanya memporak-perandakan masyarakat tetapi ia juga menjejaskan nama baik agama.

Masyarakat akan hilang hormat serta memandang rendah kepada ulama-ulama lain yang ikhlas di dalam perjuangan mereka.

Baca juga: Hanya pandai berpidato, Pemimpin PKR cabar Abdul Hadi Awang hadir ke parlimen