Ibu bapa perlu berhati-hati ketika memberi ubat batuk dan selsema yang berada di pasaran kepada kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.
Sudah menjadi tanggungjawab, ibu bapa perlu memastikan ubat yang diberi kepada anak tidak mengandungi ‘antihistamine’.
Hal ini kerana, ubat yang mengandungi bahan itu tidak sesuai buat kanak-kanak dan boleh meningkatkan risiko sawan, nafas terhenti serta kematian.
Maklumat itu dikongsikan oleh pakar kesihatan iaitu Doktor Ahmad Samhan menerusi satu hantaran di akaun Twitter miliknya.
Menurutnya, terdapat banyak kes kanak-kanak berusia dua tahun kebawah dikejarkan ke jabatan kecemasan setelah diberi ubat tersebut.
Kejadian mengejutkan ini sering terjadi sekiranya ibu bapa lalai dan memberi ubatan ini dalam dos berlebihan atau terlalu kerap.
“Malangnya, kebanyakan ubat-ubat ini mudah didapati dari kedai atau farmasi tanpa memerlukan pengesahan dan kebenaran doktor.
“Anti histamine (generasi pertama) boleh merentasi ‘blood brain barrier’ dan mengganggu sistem histamine dalam otak.
“Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu berhenti bernafas dengan sendirinya,” ciapnya bagi memberi kesedaran dan amaran kepada ibu bapa.
Baca juga: Mahu adik autisme berdikari, wanita buka ‘Kedai Seringgit’ untuk ajar berniaga