Orang ramai diminta berhati-hati ketika menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali.
Kononnya mahu menghantar jemputan kahwin, mesej tersebut sebenarnya modus operandi digunakan ‘scammer’ untuk menggodam telefon.
‘Jemputan’ itu bakal dihantar di Whatsapp melalui fail Kit Pakej Android (APK) yang perlu dimuat turun oleh penerima mesej.
Jika aplikasi ini dimuat turun, sindiket penipuan akan mendapat akses kepada maklumat peribadi yang berada di dalam telefon bimbit.
Malah, penjenayah ini mampu menggodam dan mengawal telefon bimbit dengan tujuan untuk mencuri wang di dalam akaun bank.
Peringatan penting itu dikongsi oleh seorang individu melalui satu hantaran di laman Facebook untuk memberi kesedaran kepada orang awam.
“Taktik baru scammer. Disangkakan jemputan kenduri tapi rupanya bila tekan akan muat turun fail untuk install aplikasi.
“Bila dah siap install aplikasi tu, habis telefon kita dikawal. Duit pun lesap. Geram betul. Niat nak tengok mungkin kawan lama nak jemput kenduri.
“Sekali lain pula jadinya. Hilang duit dalam bank. Kesian kepada yang terkena. Kongsi kepada pasangan anda cepat,” kata individu itu.
Seiring dengan perkembangan teknologi, kemajuan ini bakal dimanfaati orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah.
Oleh yang demikian, orang ramai perlu sentiasa berwaspada untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Baca juga: Pegawai polis telan wang kertas RM556, panik kena serbu ketika minta rasuah