“Jangan ingat saya takut”, Inspektor Sheila buat hal lagi, netizen minta turun pangkat

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial, seorang pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Inspektor Sheila sekali lagi mencetuskan kontroversi.

Menerusi rakaman yang beredar, wanita itu dilihat mencemuh seorang lagi anggota berpangkat Lans Koperal di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Difahamkan, pegawai yang dikecam ramai itu telah diikat jamin dan hadir ke balai berkenaan untuk membuat satu laporan.

“Nama encik siapa, pangkat apa? Lans koperal, banyaknya lans koperal saya jumpa hari ini. In charge siapa, you in charge ke? 

“Minta SM (sarjan mejar) datanglah. Saya Inspektor, kamu lans koperal kan? Pergi panggil SM. Jangan ingat saya takut. Awak salah orang.

“Jangan lans koperal bagi saya arahan. Pangkat lagi tinggi baru bagi arahan. Jangan main-main dengan aku,” kata Inspektor Sheila.

Rakaman berdurasi 40 saat yang dimuat naik di media sosial itu turut menuai pelbagai reaksi tidak puas hati dari kalangan pengguna Twitter.

Masih dengan perangai ‘berlagak’, ada pengguna yang mencadangkan agar pegawai itu diturunkan pangkat kepada Konstabel.

Malah, ada individu yang berseloroh agar Inspektor itu ditukarkan unit dan menjadi Polis Bantuan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Kalau macam ini aku tak nak tengok dia dipecat. Cukup turunkan balik jadi konstabel dan kekal konstabel ja sampai pencen,” kongsi seorang pengguna.

“Tukar ke polis bantuan lah, biar dia jaga pintu masuk UiTM Shah Alam . Semua budak UiTM dia belasah nanti.” Seloroh pengguna lain.

Baca juga: Apa hukum buang bin dan binti dari segi syarak? Ini jawapan Pejabat Mufti