Didakwa di mahkamah, Inspektor Sheila mengaku dirinya belum berpunya

Oleh KIM SYAZIE

Pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Inspektor Sheila akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, semalam.

Menghina anggota bawahan dan mengugut orang awam, pegawai kanan polis itu didakwa di mahkamah dengan tiga pertuduhan.

Inspektor Sheila bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Namun begitu, Inspektor Sheila atau nama sebenarnya, Sheila Sharon Steven Kumar itu ‘mengakui’ dirinya memang bersifat tegas.

Mengesahkan bahawa dirinya belum berpunya, wanita itu sedar perwatakannya kurang disenangi orang ramai terutamanya lelaki.

Inspektor percubaan itu turut mengakui mempunyai cara percakapan yang bernada tegas sehingga dirinya ditakuti.

“Saya masih bujang kerana terlampau tegas. Tidak banyak lelaki sukakannya. Suara saya memang begini, cuba tanya penduduk di Petaling Jaya.

“Inspektor Sheila ini memang tegas orangnya. Orang yang suka ikut prosedur. Saya bukan seorang yang suka cakap mengarut,” katanya.

Terdahulu, anggota polis itu didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pegawai yang berusia 35 tahun itu juga dilaporkan telah dikenakan perintah tahan kerja oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh yang demikian, segala kuasa, hak dan keistimewaan Sheila sebagai pegawai polis tergantung sehingga diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT).

Baca juga: Terpaksa berlari cari ATM sebab aplikasi buat masalah, lelaki berang bank tak update sistem