Penyanyi rock legenda, Datuk Awie, tidak sabar menyambut Aidiladha tahun ini bersama dua anaknya hasil perkahwinan terdahulu selepas lapan tahun tidak berjumpa.
Awie memaklumkandia amat menantikan detik untuk bertemu dua anaknya yang berusia 15 dan 13 tahun lapor Harian Metro.
Kedua anaknya berada di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.
“Ini mungkin jadi Aidiladha yang bermakna untuk tahun ini. Kalau ikut dari perjanjiannya begitulah, raya haji (Aidiladha).
“Saya sangat teruja menunggu tarikh ini. Harap-harap dapatlah,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Menurutnya, sepanjang lapan tahun ini, dia tidak dapat berhubung terus dengan mereka.
“Qasseh ada mesej saya ketika saya di Makkah, Ramadan lalu. Saya berdoa, tiba-tiba saya balik anak saya mesej saya.
“Ya Allah, masa itu berderai air mata keluar. Rajin juga dia mesej selepas itu dan selepas itu mungkin dia tak dapat mesej saya.
“Baru-baru ini dia menghantar mesej kemungkinan Aidiladha ini dia nak jumpa. Dia sendiri yang nak jumpa saya sebab dia yang dapat mesej saya.
“Saya tak boleh mesej dia kerana bila saya mesej tak tahu dapat jawapan atau tidak. Saya tak tahu nombor pun,” tambahnya.