Di saat keluarga lain sedang bergembira menyambut malam raya, suasana hiba malah menyelubungi lima beranak yang malang ini.
Teruja mahu pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha, keluarga ini diuji dengan khabar yang tidak menyenangkan.
Pulang ke kampung halaman dengan hanya menaiki bas, keluarga itu dimaklumkan bahawa tiket yang mereka miliki tidak sah.
Menyayat hati, berita tersebut dimaklumkan oleh petugas terminal bas setibanya keluarga berkenaan di pintu pelepasan.
Bukan cerita rekaan, kejadian duka itu difahamkan terjadi semalam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur.
Tular di media sosial, saksi kejadian, Rahman Nanyan menceritakan semula peristiwa itu menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
Difahamkan, Rahman terserempak dengan keluarga itu ketika mereka turun ke platform menuju ke Johor Bahru dengan keadaan kelam kabut.
“Ayah pikul beg besar, abang pegang tangan adik dan si ibu pula dukung bayi. Berlari satu keluarga takut tertinggal bas.
“Setibanya di pintu pelepasan, nama dan tiket mereka tidak sah. Bila disemak, tiket mereka adalah esok,” kongsinya.
Menurut Rahman, air muka sang bapa terlihat terus berubah saat menyedari bahawa dirinya telah melakukan kesilapan.
Mengharukan, sang ibu yang terduduk kepenatan di kerusi malah langsung tidak menunjukkan riak sedih dan segera memujuk suaminya.
Rahman juga kagum melihat reaksi anak-anak yang terlihat suram namun tidak menangis saat bapa mereka menyampaikan berita sedih itu.
“Alah bang, lewat sehari, janji boleh balik. Jom kita balik rumah dulu, esok kita datang.” Pujuk isteri sambil memicit bahu suaminya.