Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sedang menerima rawatan di hospital saat ini selepas kesihatannya merosot semenjak akhir Jun lalu.
Mengejutkan, khabar itu disampaikan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu turut meminta orang ramai melakukan solat hajat dan berdoa agar kesihatan bapanya kembali pulih.
Menurut Khalil, Abdul Hadi sebenarnya sudah berada dalam keadaan uzur ketika menghadiri majlis pelancaran Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN).
Namun, Ahli Parlimen Marang itu tetap mengagahkan diri untuk hadir ke program DPPN Terengganu yang diadakan pada 27 Jun lalu itu.
“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha.
“Kini menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” kongsi Khalil yang tidak mendedahkan lokasi di mana Abdul Hadi dirawat.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan masuk ke Hospital Putrajaya pada Februari tahun lalu selepas mengalami sesak nafas.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua.” Tambah Khalil.
Baca juga: Pengantin mengadu sakit perut di malam pertama, lahirkan anak keesokan harinya