Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW pernah melarang umat Islam untuk menyimpan daging korban lebih dari tiga hari.
Namun, larangan tersebut sudah dimansuhkan ekoran perubahan situasi sebagaimana yang dinyatakan Imam Nawawi.
“Dibolehkan untuk menyimpan sebahagian daripada daging korban. Adapun larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari dilarang oleh Nabi SAW.
“Kemudian Baginda SAW telah mengizinkannya dan ianya thabit di dalam hadith yang sahih lagi masyhur,” tulis Imam Nawawi di dalam kitabnya, Raudhah Al-Tolibin.
Kenyataan itu dikongsi menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban, Siri-7.
Jelas Pejabat Mufti, Rasulullah SAW pernah mengeluarkan larangan tersebut ketika berlakunya musim kelaparan.
Oleh yang demikian, larangan tersebut bertujuan khusus untuk membantu umat Islam yang berada di dalam kesusahan.
“Sekiranya daging korban di simpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak dicapai.” Ulasnya.
Kongsi Pejabat Wilayah Persekutuan lagi, perkara ini turut disebutkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu’.
Menurut mazhab Syafie, hukum menyimpan daging korban melebihi tiga hari adalah ‘harus’ asalkan tidak rosak dan menyebabkan pembaziran.
Namun demikian, hukum (harus) ini hanya termaktub kepada bahagian daging yang dimakan sendiri, bukanlah daging yang ingin disedekahkan.
Hal ini kerana, hukum mengagihkan bahagian daging yang disedekahkan adalah ‘sunat’ untuk dilakukan secepat mungkin.
Baca juga: Dituduh buat ‘muka’ di Korea, rupanya ini punca wajah Zahid Hamidi bengkak