Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir enggan mengulas lanjut mengenai penglibatannya dengan hutang puluhan juta ringgit.
Abdul Kadir juga menyerahkan urusan berkenaan ‘ugutan’ yang dibuat usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman kepada pihak peguam.
Hal ini kerana, bekas Ahli Parlimen Kulim itu enggan meletakkan kedudukannya ‘serendah’ dengan ahli perniagaan kosmetik itu.
“Saya tak nak turunkan diri ke tahap Aliff Syukri. Sekarang peguam saya sedang uruskan perkara itu,” kata Abdul Kadir memetik Malaysiakini.
Malah, ketika ditanya mengenai sebarang tindakan atau usaha untuk membersihkan namanya kembali, Abdul Kadir hanya menjawab ringkas.
“Saya dengan orang macam itu tak nak komen, saya tak nak sebut nama,” jawab bekas ahli politik yang berusia 84 tahun itu.
Terdahulu, Aliff Syukri mendakwa seorang bekas menteri bergelar Tan Sri gagal membayar hutang bernilai puluhan juta ringgit kepadanya.
Malah, segala usaha untuk menuntut wang itu juga gagal kerana individu berkenaan enggan menjawab panggilan dan pesanan mesejnya.
Menurut Aliff Syukri, bekas menteri asal Kedah itu sebelum ini terhegeh-hegeh mahu berjumpa dengannya untuk meminjam wang.
Walaupun tidak menyebut nama, Aliff telah memuat naik gambar yang menutup sebahagian wajah Tan Sri terbabit di laman Instagram.
“Tak akan bekas menteri macam ini. Saya hubungi dia tak angkat, saya Whatsapp dia tak balas. Dulu nak minta bantuan, dia terhegeh-hegeh nak jumpa saya.
“Tak nak cerita perkara sebenar, nanti malu satu keluarga Tan Sri. Jadi saya sabar sahaja. Orang Langkawi mesti kenal dia. Hartawan satu Malaysia,” luah Aliff.
Baca juga: Warga emas selamba masak nasi dalam kereta api laju, siap makan lagi