Hidup lelaki ini hancur, doktor sahkan isteri saudara kandung lepas 6 tahun bernikah

Oleh WAN SITI AMINAH

Retak menanti belah, seorang lelaki tidak menyangka rumah tangga yang dibina bersama isteri bakal runtuh selepas enam tahun hidup bersama. 

Dikurniakan dua cahaya mata, keluarga bahagia ini mula melalui episod hitam apabila sang isteri disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

Jatuh sakit sejurus selepas melahirkan anak kedua, doktor memaklumkan bahawa wanita itu memerlukan pemindahan organ untuk terus hidup.

Setelah doktor mendapati kesemua organ milik saudara isteri tidak sepadan, lelaki itu memutuskan untuk menderma buah pinggangnya sendiri.

Alangkah gembiranya lelaki itu apabila dimaklumkan bahawa buah pinggang miliknya tidak hanya sepadan, malah organ yang terbaik buat isteri.

Pakar perubatan bagaimanapun mencadangkan agar lelaki itu menjalankan ujian tambahan kerana organ pasangan berkenaan didapati ‘terlalu serasi’.

“Saya mendapat panggilan mengatakan buah pinggang saya adalah yang terbaik. Doktor kemudian meminta persetujuan untuk menjalankan ujian tambahan.

“Kerana mereka menemui beberapa maklumat daripada keputusan ujian tisu HLA (antigen leukosit manusia). Saya tidak memikirkannya dan bersetuju.

“Doktor kata kami adik beradik. Saya tak tahu nak buat apa. Dia isteri saya dan ibu kepada anak-anak kami,” katanya memetik portal Mirror.

Mengejutkan, pasangan berkenaan sebenarnya adalah adik beradik terpisah setelah suami diserahkan kepada badan kebajikan untuk dijadikan anak angkat.

Terlibat dalam prosedur anak angkat secara tertutup sejurus selepas dilahirkan, lelaki itu tidak pernah mengetahui siapakah ibu bapa kandungnya.

Lelaki itu kemudian ditakdirkan untuk bertemu isteri pada lapan tahun lalu ketika mendapat tugas pekerjaan di luar kawasan.

Mereka berdua kemudian bertukar nombor telefon dan bertemu janji setiap kali lelaki berkenaan mengunjungi kampung isterinya di sekitar England.

Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan membuat keputusan untuk berhijrah ke kampung isteri sebelum memutuskan untuk hidup bersama.

Baca juga: Tular foto isteri tanpa seurat benang selepas berlaku curang, ini kronologi kejadian