Setahun berumah dalam kereta dek hutang RM1 juta, rupanya bukan hutang bank tapi ada kisah lain orang tak tahu…

Oleh KIM SYAZIE

Ada cerita yang ramai tidak tahu di sebalik kisah seorang lelaki yang terpaksa berumah di dalam kereta gara-gara hutang berjumlah RM1 juta.

Ramai menyangka pemuda berusia 27 tahun itu membuat pinjaman besar dengan bank atau ah long sehingga terpaksa menanggung hutang sebesar itu 

Namun ia tidak benar sama sekali. Ariff Luqman Peter Lisut memberitahu bahawa dia menanggung bebanan hutang selepas terpengaruh dengan pelaburan wang digital pada 2019.

Anak kelahiran Sarawak itu berkata, pelaburan itu diketahui daripada bapanya apabila sebuah syarikat sedang mencari orang untuk dijadikan duta produk tersebut.

Pada mulanya pelaburan itu membawa pulangan lumayan sebelum berdepan masalah setahun lalu yang menyebabkan kehidupan mewah berubah sekelip mata.

“Saya terpaksa jual semua aset yang ada untuk bayar hutang. Saya buat pelbagai kerja untuk bayar hutang tersebut sedikit demi sedikit dan kini berbaki RM100,000 lagi.

“Dengan kerja tetap sebagai ketua pemasaran syarikat perunding kewangan, gaji RM6,000 itu saya gunakan 90 peratus untuk bayar hutang,” katanya memetik Sinar Harian.

Ariff Luqman sebelum ini berkongsi mengenai kehidupan yang terpaksa tidur di dalam kereta selepas tidak mampu menyewa rumah selepas dibebani hutang.

Ariff Luqman berkata, dia tidak sekadar bergantung kepada pekerjaan tetap sebaliknya turut melakukan kerja sampingan termasuk perkhidmatan pembersihan, upah poster dan pemasaran bagi menambah sumber kewangan bagi mempercepatkan melangsaikan hutang tersebut.

Dia meletakkan sasaran untuk melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin bagi membolehkannya memulakan kehidupan baharu.

“Bukan saya sombong kerana tidak mahu pertolongan atau sumbangan tapi sebagai lelaki yang sihat dan selagi ada kudrat saya mahu berusaha sendiri.

“Ada juga yang mahu bantu sedia rumah atau bilik sewa tapi saya tolak dengan cara baik kerana lebih selesa tidur di dalam kereta bagi memudahkan saya ke tempat kerja dan melakukan kerja sampingan,” katanya.

Ujarnya, Proton Wira yang digunakan itu merupakan kereta pertama yang dibeli dan banyak berjasa kepadanya.

“Sebelum ini ada gunakan kereta import lain namun telah jual untuk langsai hutang. Walaupun ada yang pandang negatif terhadap saya namun bersyukur ramai juga yang memberikan sokongan positif terhadap saya selepas kisah hidup saya tular.

“Ketika mula-mula jatuh memang ada rasa tertekan tapi kini semakin reda dan fokus saya hanya mahu selesaikan hutang kemudian barulah saya lega,” katanya.

Baca juga: “Tak adil betul, saya siap basuh, lap kering tapi tauke tak belanja” – Netizen berseloroh, cemburu indidvidu makan ‘free’ sebab kemas meja