Tak tahan dikecam penonton, Kak Lina Pom Pom umum undur diri dari Gegar Vaganza

Oleh WAN SITI AMINAH

Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom mencipta kejutan selepas mengumumkan pengunduran dirinya sebagai pengacara Gegar Vaganza (GV).

Keputusan tersebut difahamkan dibuat oleh Kak Lina selepas menerima kritikan hebat daripada para penonton program All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Meneliti segala pandangan penonton dengan serius, pengacara itu mengaku telah membaca semua komen yang ditinggalkan oleh peminat program tersebut.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, dirinya akur dengan permintaan peminat dan memutuskan untuk tidak lagi beraksi dalam program itu sebagai pengacara.

Menyita perhatian ramai, pengumuman tersebut dikongsi oleh wanita berusia 43 tahun itu menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

“Selepas membaca semua komen-komen anda (penonton), sudah masanya Kak Lina tidak perlu ada (undur diri) di GV demi menjaga hati anda dan semua pihak.

“Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tidak akan muncul lagi di GV. Minta maaf atas segala kekhilafan. Terima kasih atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini,” katanya.

Pengacara kelahiran Perak itu juga tidak menyangka bahawa niatnya untuk menghibur malah mendatangkan rasa tidak senang dalam kalangan penonton.

Bahkan, ramai peminat meluahkan hasrat untuk berhenti menonton acara pertandingan nyanyian berkenaan sekiranya pengacara itu terus dikekalkan.

Oleh yang demikian, pengacara lain dikatakan bakal muncul di dalam konsert minggu kedua bagi menggantikan tempat Kak Lina di dalam program GV10.

“Kak Lina meletakkan semua kesalahan pada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan. Tetapi lain pula jadinya bila semua orang tak berminat nak tengok GV.

“Insya-Allah Elly Mazlein akan mengantikan Kak Lina di GV nanti. So I’ll sign off (Jadi saya undur diri). Jaga diri semua. -Kak Lina Pom Pom.” Jelasnya di hantaran sama.

Rupa-rupanya, pengacara itu hanya memberi gambaran bakal meninggalkan karakter ‘Kak Lina’ dan tampil mengacara dengan personaliti sebenar iaitu Elly Mazlein.

Terdahulu, penonton GV telah meluahkan rasa tidak senang di media sosial terhadap gabungan tiga pengacara iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.

Segelintir pengguna media sosial menyifatkan bahawa gandingan antara Nabil dan Jihan sudah cukup untuk menggamatkan program realiti berkenaan.

Baca juga: Ameera Khan tayang kereta BMW baru berharga hampir sejuta ringgit, “mama and daddy bought it for me!”