Tragis! Acara sukan bertukar tragedi, murid Tahun 5 maut dihempap tiang gol patah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang murid Tahun Lima meninggal dunia dengan tragis selepas dihempap tiang gol di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu, Sarawak.

Kanak-kanak lelaki yang malang itu kemudian segera dikejarkan ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan yang bertugas.

Ketika kejadian ngeri pada Jumaat (29 September) lalu itu berlaku, murid berusia 11 tahun tersebut sedang mengikuti aktiviti kokurikulum bersama rakan sekelasnya.

Murid berkenaan kemudian mengalami kecederaan parah di kepala selepas ditimpa oleh besi palang gol yang dipercayai patah ketika aktiviti kokurikulum berlangsung.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit mengesahkan Balai Polis Pusat Bintulu menerima laporan kemalangan itu pada pukul 7.24 pagi.

Memetik laporan Buletin TV3, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang terlibat dan kes itu telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Seorang murid warga tempatan telah terlibat dalam kemalangan dan mendapat kecederaan parah di kepala akibat ditimpa besi palang gol di tempat kejadian.

“(Palang gol) dipercayai patah semasa aktiviti kokurikulum. Mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Batholomew Umpit turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar berkaitan kes itu.

Namun, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari.

Mereka yang memiliki maklumat difahamkan boleh menghubungi talian 013-5653756 atau menelefon bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

Baca juga: Ryan Bakery uji tuah, lepas berjaya jadi ‘content creator’ kini bertanding pula di Famili Duo sebagai penyanyi