Missclyen, kanak-kanak berusia 2 tahun yang menghidap Sindrom Werewolf ini mula mendapat perhatian masyarakat selepas Raja Permaisuri Agong berkenan mengambil anak istimewa ini sebagai anakanda angkat baginda.
Ia merupakan detik paling bahagia buat kedua ibu bapa Missclyen iaitu Roland Jimbai, 48 dan Theresa Guntin, 29.
Berkongsi berkenaan penyakit anaknya, Roland berkata, isterinya pernah berusaha mencukur bulu-bulu di wajah Missclyen namun kanak-kanak itu akhirnya demam, manakala si ibu pula hampir pengsan.
“Berteriak dan menangis enggan dicukur. Kemudian selepas bulu-bulu itu hilang, dia mendapat demam.
“Emaknya yang mencukur pula hampir pengsan, selepas itu. Jadi cukuplah sekali kami melakukannya kerana selepas itu, bulu di muka dan badannya semakin lebat,” kata Roland memetik Astro Awani.

Sekitar setahun yang lalu, Missclyen dikenal pasti menghidap sindrom Congenital Generalised Hypertrichosis.
Bercerita detik kelahiran anak istimewanya, Roland berkata ketika Missclyen hendak dilahirkan pada 5 Mei 2021, seluruh negara sedang berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Roland ketika itu cuba mendekati isterinya di bilik bersalin, namun tidak dibenarkan. Hatinya remuk.
Ini kerana ketika bunting, isterinya telah bermimpi bahawa anak yang bakal lahir ini cukup istimewa kerana dimandikan di atas dulang emas.
Justeru, mengikut adat Iban, amat perlu Roland sebagai bapa menyambut kelahiran tersebut dengan piring serta kain pua kumbu.

Menambah mistik kepada kelahirannya pada hari itu, seorang daripada jururawat rebah pengsan dan patah gigi.
“Manakala hujan panas turun secara tiba-tiba. Saya sendiri ralat … tidak memahami apa yang berlaku, apatah lagi saya sebelumnya memang tidak percayakan mimpi.”
Namun Roland tidak dapat melaksanakan tanggungjawab menyambut anaknya itu dengan kain pua sementelah dia sendiri tidak dibenarkan untuk melawat sehingga sebulan, gara-gara COVID-19 yang melanda.
Dia hanya berpeluang melihat dan mencium anaknya itu, sebelum ambulans membawanya ke lapangan terbang untuk dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Ketika itulah saya pertama kali melihat dia dan saya menangis ketika itu.
“Sebenarnya, anak kecil ini begitu istimewa. Ini kerana dia lahir dengan hidung tanpa lubang. Namun dia dapat bernafas,” imbas Roland.
Katanya, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil untuk menebuk lubang, bagi membolehkan Missclyen bernafas seperti kanak-kanak lain.
Keadaan penyakit dan fizikal Misscelynn mendapat tumpuan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Program Kembara Kenali Borneo singgah di Kampung Penan Muslim, Batu 10, Bintulu pada 10 September lalu.
Dan pada Selasa lalu, baginda berkenan untuk menjadikan Misscelyn sebagai ‘anakanda angkat’ baginda, dengan warkah rasmi dari Istana Negara telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Melalui warkah tersebut, Raja Permaisuri telah berkenan untuk menanggung segala kos perubatan, persekolahan dan perbelanjaan Missclyen.
Baca juga: Teringin nak makan telur dadar garing sama macam kedai, boleh cuba resipi dikongsi wanita ini